Pada
masa ini banyak kegagalan rumahtangga berpunca daripada kegagalan suami
mengimbangkan tanggungjawab sebagai seorang anak dan seorang suami. Ada
Suami yang menganggap bahawa ketaatan kepada ibu bapa adalah
segala-galanya dan segala kehendak mereka dituruti hinggalah menyebabkan
isteri terluka dan dipinggirkan dan ada
pula yang terlalu sayang kepada isteri sehingga mengenepikan Ibu bapa
dan menyebabkan mereka terluka, si anak terjatuh dalam lembah derhaka.
Baca kisah yang dikongsikan oleh blogger hisham79.blogspot.com
yang boleh dijadikan pengajaran dan panduan kepada mereka yang bakal dan
sudah bergelar suami dalam mengimbangi rumah tangga mereka.
“Ustaz nak uji sikit boleh?” tanya Ustaz Wan kepada saya sambil tersenyum.
“Uji apa pula Ustaz?” tanya saya kehairanan.
“Uji tentang ilmu baitul muslim la, Sham kan tak lama lagi nak menamatkan zaman bujang.” Jelas Ustaz Wan. Masih tersenyum.
“Oh,
kena uji-uji pula ye Ustaz, haa, tanyalah, saya ada juga baca buku,
insyaallah boleh jawab soalan ustaz punya.” Balas saya dengan penuh
keyakinan.
“Jangan yakin sangat.” Celah Ustaz Wan, seakan dapat membaca fikiran saya.
“Ok,
Ustaz nak tanya, katalah tiba-tiba berlaku dalam rumahtangga, mak si
lelaki minta anaknya untuk ceraikan isterinya, apa tindakan yang lelaki
tersebut perlu buat?” Soal Ustaz Wan.
Saya terkejut, tidak sangka soalan begini pula yang dikeluarkannya.
“Ish Ustaz ni, pelik betul soalan, tak ada soalan lain ke.” Saya cuba membantah.
“Jawab soalan Ustaz yang ini dulu.” Arahnya, membuatkan saya menggaru kepala yang tidak gatal.
“Hmm, tak boleh la kot Ustaz kan.” Saya berfikir dan menyerkap jarang. Menjawab dengan logik dan pengalaman yang mentah.
“Kalau Ustaz kata ada dalil dalam hadis yang membolehkan perkara ini berlaku, macamana?”
Saya tersentak.
“Eh, ada dalil, biar betul Ustaz?”
“Ustaz,
saya ‘surrender’ lah, tak tahu lah nak jawab soalan begini, kalau tanya
rukun nikah tu tahu la saya. Tapi, kenapa Ustaz tanya begini?” Saya
menyerah kalah.
“Baiklah, Ustaz terang dulu kenapa Ustaz tanya.”
“Ikut
pengalaman Ustaz, dan ramai juga kawan-kawan ustaz yang lain, banyak
krisis rumahtangga yang berlaku akibat campurtangan ibu bapa dalam
rumahtangga.”
“Akhirnya
rumahtangga jadi kacau bilau bila suami tidak cukup ilmu, tidak ada
pendirian dalam rumahtangga untuk menangani krisis dengan ibu bapa
hingga menyebabkan akhirnya banyak perceraian berlaku akibat
campurtangan keluarga.”
“Tadi Ustaz kata ada dalil?” saya mencelah. Masih keliru.
“Benar,
ada dalil dari hadis tentang pertanyaan sahabat kepada Rasul, ada juga
kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, juga ada dalil tentang
Saidina Umar dan anaknya yang kesemua kisah ini menceritakan tentang
arahan untuk menceraikan isteri.” Terang Ustaz Wan, tanpa memperincikan
hadis tersebut.
“Cuma,
aplikasi dari kisah-kisah tersebut yang diriwayatkan daripada hadis,
tidaklah boleh diaplikasikan terus dalam kehidupan umat Islam tanpa
pemahaman yang jelas tentang banyak perkara.”
“Ketaatan
kepada kedua ibu bapa memang suatu yang wajib, tapi tidak dalam
bermaksiat kepada Allah. Terlalu menurut kehendak ibu bapa sehingga
menzalimi isteri adalah jelas suatu perkara yang bercanggah dengan
agama.”
“Nabi
tidak pernah mengajar kita begitu kerana baginda adalah yang terbaik
terhadap isteri-isteri baginda dan pada masa sama insan yang paling
tegas dalam menyuruh anak-anak untuk berbuat baik kepada kedua ibu
bapa.” Jelas Ustaz Wan, membuatkan saya termenung panjang.
Tidak
saya sangka bahawa pesanan seorang murabbi 8 tahun yang lalu rupanya
adalah realiti kehidupan rumahtangga yang saya lihat hari ini.
Banyak
krisis yang berlaku dalam rumahtangga berpunca akibat gagalnya suami
mengimbangkan tanggungjawab sebagai seorang anak dan seorang suami.
Ada
yang menganggap bahawa ketaatan kepada ibu bapa adalah segala-galanya,
sehingga segala kehendak ibu bapa dituruti hingga menyebabkan isteri
terluka dan dipinggirkan.
Ada
pula yang mengenepikan ibu bapa kerana terlalu sayang kepada isteri.
Ibu bapa terluka, si anak terjatuh dalam lembah derhaka.
“Lepas
kahwin nanti Sham, kena pandai dan kena kuat emosi dan rasional, kena
ada pendirian.” Sambung Ustaz Wan lagi setelah melihat saya terdiam.
“Ustaz
bagi contoh, kalau lepas kahwin, ibu suruh kita duduk serumah, hingga
menimbulkan kegelisahan isteri sebab terkongkong dari segi aurat dengan
ipar dan rasa tak selesa kerana selalu dinilai oleh mertua dalam apa jua
tindakan.”
“Banyak kes begini berlaku, hingga menyebabkan isteri hilang sabar dan akhirnya menuntut cerai.”
“Dalam
kes begini, suami kena pandai berbincang dan buat pertimbangan. Mungkin
tak perlu tinggal serumah pun, hanya memadai dengan ziarah kerana ibu
masih sihat dan ada anak-anak lain yang menemani.”
“Lainlah kalau ibu sakit atau ada sebab-sebab dharuri yang memerlukan untuk tinggal sekali.”
“Jangan atas nama ‘Birr Walidain’ (berbuat baik kepada ibu bapa), kita menzalimi dan menyakiti hati isteri.”
“Kena ada pendirian, kena selalu berbincang bila ada masalah.”
“Begitu
juga kalau isteri naik kepala. Merajuk tak tentu hala bila di ajak
pulang ke kampung untuk menziarahi ibu bapa yang sedang sakit dan
memerlukan perhatian. Tak suka untuk berbuat baik kepada ibu bapa
suami.”
“Dalam
kes begini, suami kena tegas dengan isteri. Kasih kepada isteri tidak
harus menyebabkan ibu bapa dilukai hatinya. Jangan atas nama berbuat
baik kepada isteri, hak ibu bapa semuanya dilanggar.” Jelas Ustaz Wan
lagi.
Saya mengangguk perlahan, dan hari ini saya mengangguk lagi mengingatkan pesanannya.
Banyak
kes-kes perceraian yang berlaku akibat campurtangan keluarga. Kisahnya
mungkin berbeza, tapi puncanya adalah sama iaitu suami tidak ada ilmu
dan tidak ada pendirian dalam rumahtangga.
Gagal mencari imbangan tanggungjawab antara isteri dan ibu sendiri.
Lemah.
Suami adalah ketua dan pemimpin keluarga,
baik sang suami, baiklah rumahtangga,
buruk sang suami, hancurlah rumahtangga.
Sumber: hisham79.blogspot.com