Perlawanan
separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam semalam antara Malaysia dan
Vietnam menyaksikan Malaysia tewas digelanggang sendiri dengan jaringan
1-2 kepada Vietnam. Namun kekalahan semalam tidak menjadi perbualan
mulut media dan peminat tempatan kerana aksi kekasaran segelintir
penyokong Malaysia ke atas penyokong Vietnam menjadi perbualan pada hari
ini bukan sahaja di Malaysia malah dibeberapa negara Asean seperti di
Vietnam sendiri serta Singapura.
Insiden
pergelutan itu berlaku pada minit-minit akhir perlawanan ketika Vietnam
sedang mendahului Malaysia dengan jaringan 2 gol berbalas 1. Insiden ini
jelas memalukan Negara Malaysia yang seolah-olah tidak dapat menerima
kekalahan ke atas Vietnam sedangkan terdapat 90 minit lagi masa di
separuh akhir kedua yang akan diadakan di Vietnam.
Insiden ini juga
mendapat respon segera daripada Menteri Belia dan Sukan YB Khairy
Jamaluddin yang berasa marah dan kecewa dengan tindakan segelintir
penyokong Malaysia. Beliau juga mahu tindakan tegas dan segera diambil
terhadap kumpulan yang tidak bertanggungjawab itu yang menurutnya boleh
memberi implikasi buruk kepada keselamatan penyokong skuad negara di
Hanoi nanti.
"Mereka yang
tidak bertanggungjawab ini tak terfikir pula apa boleh jadi pada
penyokong kita yang akan pergi ke Hanoi, Vietnam untuk perlawanan kedua.
"Bukankah
tindakan mereka ini boleh dianggap sebagai satu provokasi dan mengundang
risiko keselamatan terhadap penyokong Malaysia di Hanoi nanti.
"Saya akan
minta kerjasama polis untuk siasat kes ini dengan segera dan bertindak
atas siasatan terbabit," katanya seperti dipetik di laman sosial
facebooknya, awal pagi tadi.
Oleh kerana
penyokong ganas ini tidak akan memohon maaf, beliau sendiri menyatakan
permohonan maafnya kepada penyokong Vietnam terutama mereka yang
diserang di Stadium Shah Alam.
"Tindakan ganas segelintir fans Malaysia ini tidak mewakili rakyat Malaysia yang sebenar," katanya.
Lihat beberapa
keping gambar dan rakaman video yang dikongsikan daripada laman web
siakapkeli.com.my. Diharapkan mereka-mereka yang mencemarkan sukan bola
sepak tanahair dapat diambil tindakan sewajarnya oleh Pihak Polis. Sudah
sampai masanya mereka-mereka penyokong bola sepak yang selalu
menimbulkan kekecohan di stadium dilarang untuk beberapa masa daripada
menghadiri apa-apa perlawanan bola sepak di tanah air serta negara luar.
Sudah menjadi adatlah setiap perlawanan sukan akan ada cemuh-mencemuh
antara penyokong pasukan yang bertanding. Tetapi tidak perlulah sampai
kepada berlakunya kekasaran. Agak-agak kalau tidak boleh dikutuk tengok
bola depan TV dekat rumahlah..