Lapang benar dada
Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter Pejabat Tabung Haji itu
memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah
yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini.
“Tapi pak cik kena
bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit
lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu
pegawai itu lagi.
“Insya’Allah
encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira
itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.
Sebaik keluar dari
pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah. “Pah….. Ooo….. Pah!”
teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya. “Apa bendanya
terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.
“Ada berita baik ni
Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai.
Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya,
rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,” cerita Pak Uwei dengan wajah
berseri-seri.
“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”
“Betullah Pah oii……
saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak
tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.” “Mana kita nak
cari duit banyak tu bang?
Tiga ribu tu
bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga
sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah
suaminya.
“Alah Pah, kita
mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri.
Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.”
Wajah Pak Uwei
semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak
akan menghampakan harapannya. “Lusa hari minggu, saya nak suruh
budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.
“Kalau tak cukup
bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan
anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah
minta duit anak-anak.”
Mak Pah tidak
bersetuju dengan rancangan Pak Uwei. “Pah…. Muaz dan Balkis tu kan
anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi
takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak
pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin
anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.”
Yakin benar Pak
Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya. “Tapi
bang………..” “Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak
tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,” pintas Pak Uwei sebelum
Mak Pah melahirkan kebimbangannya.
Lega hati Pak
Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uwei
menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik
tanpa memberitahu hajatnya.
“Insya’Allah, Kis
balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya
Balkis. “Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz.
Intan tu ada ke
tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uwei. Bukan dia
membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila
berhadapan denga Intan.
Sikap degil dan
tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah
malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki
ijazah.
Kalau ditegur
sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara
sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar
tiga tahun lalu.
Kini hubungan
mereka seperti orang asing. “Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL
tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju
dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang. “Intan dah tak minat nak
belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang.
Kerja kilang pun
bukannya haram.” Bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei. “Aku suruh kau
belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang.
Kau tak tengok
berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh
dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan.
Kau nak bebas macam
tu?” “Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja
kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje,
pokok pangkalnya hati.
Kalau nak buat
jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Intan cuba membuat Abahnya faham.
“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau.
Cuba kau tengok
Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!” “Intan memang
tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak
kena Intan cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Intan
selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya. “Anak tak mendengar kata,
ikut suka kaulah.
Kalau kau nak
pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke,
telangkup ke, gasak kaulah.” “Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak
ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan
langsung apa yang Intan nak buat.
Namun begitu,
Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun
abahnya tidak mempedulikannya. Intan selalu menghulur duit, tapi hanya
kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila
anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya.
Malam itu, selesai
menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk
berborak di ruang tamu. “Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada
hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara. “Hajat apa pula Abah?” tanya
Muaz yang duduk di sebelahnya. “Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah
ada dalam senarai.
Memandangkan
bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis
bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uwei
mengutarakan hasratnya. “Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan
dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah.
Sebulan dua lagi
bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz. “Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta
bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.” “Kalau dalam
seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat.
Paling tidak pun
cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan
budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah. “Kau beli rumah
lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi
kekecewaannya. “Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami
sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri.
Lagipun beli
rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri
Muaz. Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam
mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila
ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling
pada Balkis. “Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje
keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man.
Tengah gawat ni
faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.”
Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis. “Man bukan
tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh.
Tapi yelah, kata
orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.” “Betul kata
Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru
elok,” sokong Muaz.
Kata-kata Azman
dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu
pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila
kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya. “Tak apalah kalau kau
orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau
ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.
“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah.
Tak payah saya
tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak
pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun
masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.
Intan tahu
Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan
rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana
tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya
begitu. “Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila
Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya.
“Tak, katanya
cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain
selendangnya. “Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah
bersiap-siap. “Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih
lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya
anaknya.
Bukan sekali dua
dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin
itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak keluar. “Nak ke mana
Intan pagi-pagi dah bersiap ni?” “Intan ada hal sikit kat bandar mak.
Intan pergi dulu ye.”
“Kalau nak ke
bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah. “Tak payah mak,
Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Intan pergi
dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu.
Kadangkala sedih
hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu
menyisihkan diri. Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak
dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari. “Kau ni Tan buat benda
apa lama benar kat bandar tu?
Mari makan sama.
Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.” “Ingat
lagi Abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh
mencapai pinggan. “Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma
anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan
tersenyum pahit.
Selesai mengemas
pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan
mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedan membaca
suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain. “Mak, Abah….. Intan ada hal
sikit nak cakap ni….,” ujar Intan menghampiri mereka.
Pak Uwei
menurunkan suratkhabar yang dipegangnya., kemudian menanggalkan cermin
mata yang digunakan untuk membaca. “Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal
Pak Uwei merenung Intan.
Tawa Intan
meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak
besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa
hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu. “Abah ni…… ke
situ pulak….” “Habis tu?” “Ini….. kad Tabung Haji Mak.
Tadi Intan ambil
dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya
Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah.
Yang dua ratus lagi
ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Intan
memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei. “Apa???” Pak Uwei
terkejut. Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai tidak
percaya. “Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil
titik peluh Intan yang halal Abah, terimalah. Selama ini Intan banyak
kali kecewakan Abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah.
Selama ini pun
Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak
cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka.
Intan tahu Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat
tunaikan hasrat Abah.” “Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik
haji.
Dulu kerana Kak
Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang
sesuai. Intan harap Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan
perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut
dimamah usia. “Terima kasih Intan.
Malu rasanya Abah
nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz
yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang
yang membantu Abah,” luah Pak Uwei sambil mengesat air mata terharu atas
keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya. “Sudahlah Abah.
Yang lepas itu tak
usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira Abah sudi terima
pemberian Intan.” “Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak
kau Intan….,” ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat. “Hah……tulah,
jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak
Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.
“Mak ni…..,” gelak
Intan memandang abahnya yang tersengih. Masa yang ditunggu-tunggu tiba
dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak
Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba. “Semua dah
siap ke Mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak
Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
“Dah rasanya…… ada
apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?” “Tak ada mak.
Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat
menunaikan ibadah dengan sempurna.” “Hah! Awak dengan tu…. Kita ni nak
pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang
turut mendengar perbualan dua beranak itu.
“Intan tak nak
Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu,
doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk
emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan
permintaan Intan itu. Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di
tanah air.
Pak Uwei mengerling
Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan
ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati.
Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai menyentap tangkai
hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di Tanah Suci.
Intan tidak berkata
sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh. “Kenapa
resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga. “Entahlah Pah, saya teringat sangat
dengan Intan dan anak-anak kita.” “Sabarlah, dah nak sampai dah ni,”
pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman
menanti mereka.
“Mak….. Abah…..,”
Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat
menahan air mata menitis laju. “Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak
Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan. “Mereka menanti di rumah,
Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.
“Intan pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa.
“Awak ni….. kan Man
dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari
ni nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari
KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah
yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.
“Dua tiga malam
sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan.
Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada
Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu. “Tentulah
Abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba
bergurau walaupun terasa sayu.
“Tapi Abah rasa
macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Intan
macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya
renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?” “Err….. tak ada
Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman. “Tak
payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei.
Azman dan Muaz
hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk
mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah
sayu. Semua yang ada menitiskan air mata. “Mak dengan Abah sihat ke?”
tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya. “Sihat, cuma
batuk-batuk aje sikit.
Intan mana, dia tak
balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan. “Naik dulu
Ngahnya…….,” suruh Long Semah. “Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar
bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat
tangga menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang
terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas.
Dadanya bergetar.
“Az….. mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang
menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu. “Sabar
Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya. “Kenapa Az…….. kenapa?”
Mak Pah
menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik
Intan. “Mak…. Intan dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya
yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu.
Mak Pah terus
pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak
Uwei duduk di tepi kepalanya. “Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada
kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya
nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih
belum pulang. “Intan ada tinggalkan surat untuk kita.
Dia memang dah tahu
dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia
minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas
pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei menepuk lembut bahu
Mak Pah yang tersedu.
“Bila dia
meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah. “Kami
semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak.
Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah.
Mak dan Abah nak
balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas
solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak
hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia
ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak... tiga hari
lepas.
Dia pergi dalam
keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz. Mak Pah menggenggam erat
tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka
sebelum melepaskan pemergian mereka.
Dan ketika itu
bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, “Intan tak nak Mak dan Abah
belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, Mak dan
Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..” “Islam pada mulanya
terasing, dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi
yang terasing”...
Sumber: ohdunia.my