Ahad, 21 Disember 2014

TERKINI~Malaysia tunggu pengesahan nasib MH370 daripada Vietnam


SEPANG: Laporan media yang mendakwa pesawat Malaysia Airlines terhempas ke dalam Laut China Selatan kira-kira 120 batu nautika dari Kota Bharu masih belum dapat disahkan.
Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kesahihan maklumat itu sedang disahkan oleh pihak Tentera Laut Diraja Malaysia dengan tentera laut Vietnam.

"Kita sedang tunggu pengesahan dari pihak tentera kita yang sekarang ini sedang menghubungi tentera laut Vietnam untuk mendapat pengesahan," katanya dalam sidang media.

Menurut Hishammuddin, maklumat itu juga tidak disahkan oleh Jabatan Penerbangan Awam dan Wisma Putra.

Sebuah akhbar Vietnam sebelum ini memetik kenyataan Laksama Tentera Laut negara itu yang mengatakan radar tentera mengesan lokasi terakhir penerbangan MH370 itu iaitu di kawasan perairannya sebelum ia dilaporkan hilang.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang mengirimkan kapal lautnya KM Segantang, KM Amanah and KM Langkawi ke kawasan terakhir pesawat Boeing 777-200 itu dikesan oleh radar namun tidak menemui sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan pesawat berkenaan.

Astro AWANI juga difahamkan beberapa syarikat cari gali minyak yang beroperasi di kawasan berdekatan telah menyertai operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan oleh pihak berkuasa Malaysia dengan kerjasama Vietnam dan China.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengesahkan tidak menerima sebarang maklumat tentang penemuan sebarang bangkai pesawat di kawasan carian.

“Kita juga tidak menerima maklumat tentang pesawat yang dikaitkan dengan bom atau pengganas," katanya, merujuk kepada spekulasi yang tersebar di kalangan orang ramai.

“Walau bagaimanapun, kami sedang meninjau semua kemungkinan,” tambahnya.

Hishammuddin berkata Jabatan Penerbangan Awam akan menjadi pusat untuk mendapatkan maklumat dan sidang media akan diadakan setiap dua jam untuk member maklumat terkini kepada orang ramai.

Penerbangan MH370 itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara di Subang pada 2.40 pagi kira-kira dua jam selepas berlepas. Lebih 12 jam selepas kehilangannya, ia masih belum dapat dikesan.

Pesawat itu membawa 227 penumpang, dua daripadanya bayi dan 12 anak kapal. Ia berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi Sabtu dan dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.

Dalam pada itu, penganalisis bebas penerbangan Gerry Soejatman memberitahu AFP operasi mencari dan menyelamat perlu dilakukan dalam masa 24 jam.

"Kita tidak boleh membuat andaian tidak ada yang terselamat, dan sekiranya ada, adalah mustahak untuk menyelamatkan mereka dalam masa sehari atau peluang untuk hidup akan jadi semakin tipis," katanya yang ditemubual di Jakarta oleh agensi berita itu.

Tetapi sebelum itu operasi mencari harus mengenal pasti dengan tepat kawasan terlibat bagi memperkecilkan kawasan carian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya berkata
pihaknya sudah menghubungi lebih kurang 80 peratus keluarga penumpang dan anak kapal penerbangan MH370.

Beliau juga memberitahu MAS akan menghantar pegawainya ke Beijing untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan.

Ahmad Jauhari juga berkata kehilangan pesawat itu tidak menjejaskan operasti dan perkhidmatan syarikat penerbangan itu.

Sumber~astroawani

Tiada ulasan:

Catat Ulasan